Apabila seseorang meninggal dunia dan meninggalkan aset (harta – sama ada yang boleh gerak seperti motorsikal dan kereta atau yang takboleh gerak seperti rumah atau tanah) dan liabiliti (hutang piutang), waris mereka harus mendapatkan dokumen yang memberi mereka kuasa untuk bertindak sebagai Pentadbir bagi urusan menyelesaikan aset dan hutang tersebut.
Dokumen ini boleh diperolehi sama ada melalui perintah Mahkamah atau perintah Pejabat Pusaka Kecil bergantung kepada nilai aset dan hutang.
Pentadbir Pusaka boleh failkan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir (jika si mati tidak meninggalkan wasiat) atau Geran Probat (jika si mati telah membuat wasiat semasa hayatnya) bagi jumlah pusaka bernilai lebih daripada RM2 juta atau pusaka kompleks (aset dan hutang termasuklah wang tunai, saham syarikat, tuntutan insurans pelbagai syarikat, rumah, tanah, ladang, barang kemas yang bernilai tinggi).
Atau, Pentadbir Pusaka boleh failkan permohonan di Pejabat Pusaka Kecil, Pejabat Tanah jika aset atau liabiliti bernilai bawah RM2 juta termasuklah hartanah takboleh alih (rumah, tanah, atau ladang).
Ringkasnya, seorang Pentadbir Pusaka boleh mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probat dari Mahkamah Tinggi melalui proses berikut:

LANGKAH SATU – LANTIK PENTADBIR / WASI
Selepas kematian berlaku, waris kadim (yang mempunyai hubungan yang memberi hak kepada mereka untuk mewarisi harta si mati), haruslah berbincang dan melantik salah seorang daripada mereka untuk menguruskan Pusaka si mati. Lazimnya, Pentadbir Pusaka dilantik berdasarkan rasa kepercayaan dan kemampuannya untuk menguruskan Pusaka secara adil.
- Jika si mati meninggalkan Wasiat: Lazimnya Pentadbir Pusaka telah dinamakan dalam wasiat
- Jika si mati tidak meninggalkan Wasiat: Waris terdekat akan dilantik sebagai Pentadbir Pusaka dengan persetujuan waris-waris lain
LANGKAH DUA – KENAL PASTI JENIS PERMOHONAN
Selepas kematian, langkah pertama ialah menentukan sama ada si mati meninggalkan wasiat atau tidak:
- Jika ada wasiat: Pentadbir Pusaka perlu memohon Geran Probat (Grant of Probate)
- Jika tiada wasiat: Pentadbir Pusaka memohon Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration)
LANGKAH TIGA – KUMPULKAN DOKUMEN YANG DIPERLUKAN
Pentadbir Pusaka perlu menyediakan dokumen berikut:
- Sijil kematian
- Salinan kad pengenalan si mati
- Salinan kad pengenalan pemohon
- Wasiat (jika ada bagi permohonan Geran Probat)
- Senarai aset dan liabiliti si mati
- Dokumen sokongan aset (geran tanah, penyata bank, saham, sijil insurans, perjanjian kemudahan bank, perjanjian jual beli rumah)
- Sijil nikah atau sijil kelahiran (untuk bukti hubungan antara Pentadbir Pusaka dan si mati)
LANGKAH EMPAT – FAILKAN PERMOHONAN DI MAHKAMAH
Permohonan dibuat di:
- Mahkamah Tinggi: untuk harta bernilai tinggi atau pusaka kompleks
- Pejabat Pusaka Kecil, Pejabat Tanah: jika aset pusaka bernilai bawah RM2 juta termasuklah hartanah takboleh alih
Dokumen yang perlu difailkan termasuk:
- Saman pemula
- Afidavit sokongan oleh Pentadbir Pusaka yang dicadangkan waris
- Afidavit Penolakan oleh waris-waris lain
- Senarai aset dan nilai harta
- Senarai waris kadim
- Sumpah Pentadbiran oleh Pentadbir Pusaka bagi menjamin beliau akan mentadbir dengan telus
LANGKAH LIMA – BAYARAN FI DAN BON PENTADBIRAN
- Pemohon perlu membayar fi mahkamah untuk pengeluaran Geran Probat atau Surat Kuasa Mentadbir
- Untuk Surat Kuasa Mentadbir, biasanya perlu menyediakan bon pentadbiran (jaminan kepada mahkamah)
LANGKAH ENAM – PERINTAH DIKELUARKAN
Setelah mahkamah menyemak dokumen, memastikan tiada pertikaian waris dan mengesahkan kesahihan wasiat (jika berkaitan), mahkamah akan meluluskan permohonan dan mengeluarkan dokumen yang dinamakan Geran Probat atau Surat Kuasa Mentadbir.
LANGKAH TUJUH – Pentadbiran harta pusaka
Selepas mendapat perintah, Pentadbir Pusaka haruslah:
- Kumpul dan kenal pasti semua aset
- Daftarkan diri di pejabat yang relevan sebagai Pentadbir Pusaka (contoh: si mati meninggalkan rumah, Pentadbir Pusaka harus ke Pejabat Tanah dan melalui proses ‘turun milik’ (transmission) di mana nama Pentadbir Pusaka akan dimasukkan ke dalam geran rumah sebagai Pentadbir)
- Selesaikan hutang si mati
- Bahagikan harta kepada waris yang berhak
- Sediakan akaun pentadbiran
LANGKAH TAMBAHAN – PERINTAH PEMBAHAGIAN ATAU PERINTAH PENJUALAN
Dalam proses membahagikan harta si mati kepada waris, Pentadbir Pusaka berkemungkinan mengalami situasi di mana beliau harus menjual hartanah seperti tanah untuk memastikan liabiliti si mati dapat dilunaskan. Pentadbir Pusaka perlu ke Mahkamah Tinggi semula untuk mendapatkan Perintah Penjualan.
Dalam proses pembahagian baki pusaka selepas menyelesaikan hutang si mati, Pentadbir Pusaka bolehlah mendapatkan Perintah Pembahagian yang memberi kuasa kepadanya untuk ‘pindah turun’ (transfer) hakmilik hartanah kepada waris yang berkenaan.
LANGKAH TAMBAHAN JIKA ADA PERBALAHAN DALAM KALANGAN WARIS
Jika waris-waris tidak bersetuju dengan lantikan Pentadbir Pusaka, mereka boleh mencabar lantikan tersebut di Mahkamah Tinggi melalui proses sitasi (citation).
